Ahad, 14 April 2019 | 5:13pm
KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. - Foto NSTP
KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. - Foto NSTP

Maklumkan terus kepada saya - Ketua Polis Daerah Cheras

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat judi dalam talian yang dipercayai baru beroperasi sejak dua hari lalu digempur sepasukan polis di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata tiga individu ditahan dalam operasi jam 11.30 malam.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, ada tiga individu warga Bangladesh dalam premis berkenaan.

“Dua lelaki warga asing terbabit leka bermain mesin perjudian manakala seorang lagi warga asing dipercayai bertugas sebagai penjaga premis.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas satu keping kad dipercayai digunakan untuk mencatit nilai pertaruhan judi; tiga keping kad tambah nilai simulator; tiga unit mesin simulator dan wang tunai RM400,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Mokhsein berkata ketiga-tiga individu terbabit ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap Balai Polis Cheras sebelum proses permohonan reman dibuat hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pejabat Ketua Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050 atau Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Berita Harian X