Selasa, 16 April 2019 | 6:05pm

SPRM tahan 31 individu termasuk 23 penguat kuasa JPJ

KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu termasuk 23 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit melindungi pemandu lori lebih muatan.

Kesemua mereka termasuk tiga wanita yang berusia 31 hingga 54 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam satu operasi khas SPRM pada jam 10 pagi hingga 4 petang tadi.

Selain penguat kuasa JPJ, lapan termasuk tiga wanita adalah orang awam yang dipercayai menjadi proksi kepada penguat kuasa jabatan itu, tonto serta pemilik syarikat.

Difahamkan, semua penguat kuasa JPJ itu berjawatan dari Gred 19 hingga Gred 32 yang dipercayai bertugas di Pulau Pinang.

Setiap anggota penguat kuasa JPJ dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 sehingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan.

Malah, mereka juga turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dilaksanakan JPJ.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Berita Harian X