Selasa, 16 April 2019 | 8:02pm
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid. - Foto Sairien Nafis
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid. - Foto Sairien Nafis

Tiga lelaki menyamar polis untuk menyamun ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut dan menyamun warga asing dalam dua kejadian berasingan di daerah Brickfields di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, berkata dua kejadian samun itu berlaku pada Sabtu dan Ahad lalu, masing-masing di sebuah kedai runcit dan kedai makan.

Beliau berkata, mangsa terdiri daripada tiga penjaga dan pekerja kedai warga Bangladesh.

“Suspek pada mulanya memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum berpura-pura memeriksa lesen perniagaan serta dokumen pekerja.

“Mereka kemudian bertindak memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barang berharga yang lain sekiranya mangsa tidak mahu ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes pertama, mangsa kerugian wang tunai RM3,800, manakala dalam kes kedua, mangsa kerugian wang tunai RM5,000 serta beberapa barangan berharga iaitu sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit dan 10 keping kad SIM turut disamun.

“Susulan siasatan yang dijalankan, kita menyerbu dua unit kondominium, masing-masing di Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail dan berjaya menangkap kesemua suspek, semalam.

“Menerusi serbuan itu juga, kita berjaya merampas lapan telefon bimbit, sebuah komputer riba, sebuah kereta PERODUA Myvi dan satu gari,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemuanya negatif.

“Tiga suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun itu direman lima hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pembabitan kumpulan ini yang mungkin ada mendalangi kes samun di daerah dan negeri lain,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes sedemikian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Aznal Alwi di talian 016-8391236.

Mereka juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X