Rabu, 17 April 2019 | 12:06pm
NAJIB (kanan) hadir pada hari keempat perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Sebutan semula 3 kes pengubahan wang haram RM27 juta Najib 17 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan terikat dengan perbicaraan lain membabitkan bekas Perdana Menteri itu, sehingga 10 Mei ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, memaklumkan pihaknya memerlukan tarikh lain untuk serahan dokumen.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 66, memohon prosiding dibuat pada waktu petang.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, bagaimanapun kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

1380 dibaca
Berita Harian X