Khamis, 18 April 2019 | 12:47pm
NAJIB Razak, hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan pada hari kelima berhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib bayar firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak RM3.5 juta

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kanan Ambank mengesahkan Datuk Seri Najib Razak membuat pembayaran sebanyak RM3.5 juta kepada firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek, Ambank Sdn Bhd, Badrul Hisam Mohamad, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata bayaran kepada firma guaman itu dibuat pada 21 Januari 2015 menerusi cek bernombor 000303.

Pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Badrul turut memberitahu mahkamah yang pembayaran menerusi cek itu dibuat melalui akaun Ambank bernombor 2022011898 milik Najib.

Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui berlaku kesalahan input sebanyak RM3,500 pada cek bernombor 000303, Badrul menjawab: “Ya”

Badrul berkata, bank penerima menghubungi Ambank dan memaklumkan tarikh kesilapan pemproses cek.

Beliau berkata, Ambank pula melakukan siasatan dan memaklumkan kepada cawangan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami kemudian akan hubungi pelanggan bagi mengesahkan perkara itu. Sekiranya betul kami akan minta pelanggan untuk menyediakan wang secukupnya bagi pembayaran balik kepada penerima.

“Pada 6 Februari 2015, pihak kami menerima faks memaklumkan jumlah yang sepatutnya diterima adalah RM3.5 juta, bagaimanapun bank penerima iaitu CIMB cawangan PWTC memasukkan jumlah sebanyak RM3,500.

“Kami panjangkan perkara itu kepada cawangan dan memberitahu pelanggan supaya menyediakan wang secukupnya untuk didebit serta dibayar kepada akaun penerima,” katanya.

Ditanya Muhammad Saifuddin bila jumlah kekurangan dibayar, Badrul berkata baki bayaran itu dibuat melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) oleh pelanggan bernama Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu pada perbicaraan itu, Badrul turut mengesahkan dua transaksi dilakukan kepada UMNO Pulau Pinang dan Johor Bahru berjumlah masing-masing RM1 juta dan RM300,000 pada 26 Februari 2015.

“Pada 12 Februari 2015, satu cek berjumlah RM400,000 turut dijelaskan kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak menerusi akaun bernombor 2022011906,” katanya.

Badrul turut mengesahkan syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd menerima wang berjumlah RM20 juta daripada syarikat SRC International Sdn Bhd menerusi cek pada 12 Disember 2014.

Cek itu mengandungi berapa tandatangan?

Badrul: Terdapat dua tandatangan, yang bermaksud cek itu dikeluarkan oleh syarikat.

Muhammad Saifuddin: Syarikat apa?

Badrul: SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Saifuddin; Boleh sahkan RM20 juta dijelaskan.

Badrul: Ya, sudah dijelaskan

Muhammad Saifuddin: Boleh sahkan cek Ambank ini?

Badrul: Cek bernombor 004836, akaun 0211600100, penerima Ihsan Perdana Sdn Bhd, jumlah RM130,361.17 pada 9 Mac 2015.

Muhammad Saifuddin: Ada berapa tanda tangan?

Badrul: Ada dua, dalam kes ini cek dikeluarkan oleh bank atas arahan pelanggan untuk akaun didebit dan diberikan kepada penerima.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

3464 dibaca
Berita Harian X