Khamis, 18 April 2019 | 2:14pm
NAJIB Razak. - Foto BERNAMA

Najib dibenar dapatkan laporan pengesahan keluar masuk cek AmBank

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan laporan pengesahan berkaitan keluar masuk cek yang terdapat dalam sistem perbankan AmBank Cawangan Raja Chulan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu yang dikemukakan Harvinderjit Singh, peguam mewakili bekas Perdana Menteri dalam perbicaraan kes salah guna kedudukan, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib.

Harvinderjit ketika sesi soal balas, meminta saksi kelima pendakwaan, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad menyerahkan laporan pengesahan berkenaan.

Peguam itu berkata, beliau meminta dokumen berkenaan bagi memastikan maklumat dalam akaun itu adalah benar, manakala Badrul Hisam memberitahu, beliau boleh mengemukakan laporan terbabit di mahkamah.

Terdahulu, Harvinderjit mengemukakan cek kepada saksi bagi mengesahkan sama ada butiran dalam cek berkenaan betul atau tidak, termasuk nama penerima, tarikh dan nombor akaun.

Pada pemeriksaan utama sebelum itu, Badrul Hisam mengesahkan beberapa cek daripada empat akaun berbeza, termasuk akaun milik Najib dan akaun semasa milik SRC International, dikeluarkan kepada penerima individu, syarikat dan parti politik.

Saksi berkenaan juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa setiap cek perlu diperiksa terlebih dulu bagi menentukan sama ada ia sudah dilunaskan atau sebaliknya dan jika ada cek ditolak, pihak bank akan mengeluarkan notis kepada pengeluar cek (bank).

“Urusan itu akan dibuat pengurus bank dengan bahagian pemprosesan cek, kemudian pengurus bank akan memberitahu pemegang akaun berhubung penolakan cek,” katanya.

Pada 4 Julai 2018, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC International.

Pada 8 Ogos kemudian, bekas Perdana Menteri sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

1883 dibaca
Berita Harian X