Khamis, 18 April 2019 | 3:04pm
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff. - Foto Amran Hamid

JPJ Kedah hantar 8 anggota bantu Pulau Pinang

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah sedia menghantar lapan anggota penguatkuasaannya ke Pulau Pinang bagi membantu melancarkan operasi di negeri itu.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Pengarah JPJ Pulau Pinang semalam, dan memaklumkan kesediaan menghantar anggota terbabit.

Katanya, setakat ini tugas penguatkuasaan JPJ Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa berikutan hanya 10 daripada 24 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin adalah anggota operasi.

“Saya sudah mengarahkan lapan anggota JPJ Kedah iaitu empat dari Sungai Petani dan empat lagi dari Kulim atau Kuala Ketil supaya bersedia ke Pulau Pinang.

“Hasil perbincangan semalam, anggota kita mungkin ditempatkan untuk membantu melancarkan operasi di Sebarang Prai Utara (SPU), manakala anggota dari Perak di Seberang Prai Selatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ismasuhaimi berkata, penempatan anggotanya bertugas di Pulau Pinang hanya sementara dan mereka akan ditugaskan menjaga sempadan Kedah dan SPU.

Semalam, 24 penguat kuasa berkenaan bersama enam orang awam yang dipercayai menjadi proksi kepada penguat kuasa JPJ terbabit, tonto serta pemilik syarikat lori, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes melindungi pemandu lori membawa lebih muatan.

Kumpulan penguat kuasa JPJ itu antara 33 individu berusia 31 hingga 54 tahun, termasuk sembilan orang awam yang ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam satu operasi khas SPRM pada jam 10 pagi hingga 10.30 malam Selasa lalu.

Berikutan itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid pagi tadi, mengarahkan JPJ Kedah dan Perak membantu kekurangan anggota penguat kuasa di Pulau Pinang.

Berita Harian X