Jumaat, 19 April 2019 | 5:30pm
AZAM Baki

22 lagi anggota JPJ dijangka beri keterangan esok

GEORGETOWN: Seramai 22 lagi kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di sini, esok.

Mereka membabitkan Penolong Pegawai Penguat Kuasa gred KP29 dan Ketua Pembantu Penguat Kuasa gred KP22.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata semua mereka dipanggil untuk membantu siasatan dalam kes terdahulu.

“Semua mereka disyaki ada hubung kait dengan kes terdahulu, iaitu melindungi pemandu lori lebih muatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berkaitan, Azam berkata, 23 daripada 24 kakitangan JPJ Pulau Pinang yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM, hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota JPJ masih ditahan berikutan siasatan terhadapnya masih belum selesai.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan yang dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 4 petang, Selasa lalu.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi itu yang dipantau SPRM ketika ini.

Berita Harian X