Sabtu, 20 April 2019 | 11:15am

2 lelaki Nepal cabul pemandu Grab ditahan

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki mencabul seorang pemandu wanita Grab ketika menaiki kenderaan e-hailing itu di Jalan Song Ban Kheng, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, suspek didakwa memegang dan mencium tangan, selain menarik badan mangsa serta meramas payudara wanita berusia 27 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 29 tahun ditahan dengan bantuan orang ramai di lokasi.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengambil suspek di Jalan Stesen Bukit Mertajam untuk dihantar ke Taman Juru dengan kedua-dua lelaki terbabit diminta duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, suspek berusia 23 tahun didakwa mahu melangkah ke kerusi penumpang bahagian hadapan tetapi dihalang mangsa.

“Mangsa kemudian menghentikan kenderaannya di Jalan Betik dan meminta suspek keluar untuk duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Namun ketika dalam perjalanan, beliau berkata, suspek didakwa mencabul mangsa sebanyak dua kali sebelum wanita itu memberikan amaran akan menghantarnya ke balai polis.

“Suspek dikatakan tidak lagi bertindak demikian selepas diberi amaran sehinggalah rakannya yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang muntah.

“Pada masa sama, suspek didakwa bertindak agresif apabila menarik badan mangsa dengan kuat untuk memeluknya. Susulan itu, mangsa memberhentikan kenderaan di Jalan Bukit Minyak dan keluar meminta bantuan.

“Orang ramai yang berada berdekatan kawasan itu bertindak membantu pengadu. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam kerana cedera dipercayai dipukul orang ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakaman percakapan mangsa sudah dilakukan, selain pihaknya kini mengesan saksi kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

3006 dibaca
DUA lelaki warga Nepal ditahan orang awam selepas dipercayai mencabul seorang pemandu Grab wanita dalam kejadian di Jalan Song Bang Kheng, Bukit Mertajam. - NSTP/Ihsan Pembaca
Berita Harian X