Sabtu, 20 April 2019 | 11:34am

23 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang beri keterangan

GEORGETOWN: Seramai 23 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, termasuk dua wanita, diarah menjalani proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes rasuah diterima daripada pemilik syarikat lori di negeri itu, hari ini.

Semua mereka diarah hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, pada jam 8 pagi tadi.

Sumber SPRM berkata, senarai nama semua penguat kuasa terbabit sudah dimaklumkan kepada Pengarah JPJ negeri, semalam.

“Semua penguat kuasa terbabit diarah hadir ke Pejabat SPRM negeri pagi ini dan mereka dijangka direman di Mahkamah Majistret di sini, pada jam 10 pagi, esok,” katanya kepada BH, sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor, ketika dihubungi, mengesahkan beliau tidak diarah untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Semua yang dipanggil ke Pejabat SPRM negeri untuk memberi keterangan hari ini, juga tidak membabitkan pengurusan kanan JPJ Pulau Pinang,” katanya.

Semalam, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan dengan seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lalu.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi berkenaan yang dipantau SPRM ketika ini.

BEBERAPA individu kelihatan memasuki bangunan Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X