Sabtu, 20 April 2019 | 12:10pm
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (tengah) ketika merasmikan Pertandingan Menembak bersama UKK Agensi Penguatkuasa 2019 di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang. - NSTP/Aizuddin Saad

SPRM mungkin panggil pengarah JPJ Pulau Pinang

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan pengurusan tertingginya selepas selesai merakam keterangan 23 penguat kuasa JPJ negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya sedang mengumpul bukti dan membuat beberapa pengesahan dengan anggota penguat kuasa terbabit.

“Mereka (pengarah JPJ Pulau Pinang dan pengurusan tertingginya) biasanya akan dipanggil selepas kita selesai rakam keterangan pegawai JPJ yang disyaki.

“Selepas kumpul bukti dan buat beberapa pengesahan, baru kita panggil pihak terbabit. Namun, ia akan dilaksanakan mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pertandingan menembak bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) Agensi Penguat Kuasa 2019 di Lapang Sasar Menembak Maktab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan seramai 23 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk dua wanita hadir ke Pejabat SPRM negeri untuk menjalani proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes rasuah daripada pengendali syarikat lori.

Mereka dijangka direman di Mahkamah Majistret Georgetown pada jam 10 pagi, esok.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret Georgetown, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 4 petang, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Azam berkata 24 penguat kuasa itu dipercayai menggunakan wang rasuah melindungi sindiket lori lebih muatan untuk tujuan hiburan termasuk berjudi.

“Kalau guna duit sendiri untuk berseronok dengan berhibur, kita tiada masalah. Menggunakan wang rasuah yang menjadi kebimbangan SPRM.

“Saya memang arahkan pegawai untuk lihat isu itu, betul atau tidak kita tunggu hasil siasatan,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM akan meneruskan operasi dan siasatan terhadap JPJ negeri lain, Azam berkata ketika ini, pihaknya hanya akan memfokuskan isu berbangkit di Pulau Pinang.

“Tiada komen (operasi dan siasatan terhadap penguat kuasa JPJ negeri lain). Kita hanya fokus di Pulau Pinang,” katanya.

2760 dibaca
Berita Harian X