Sabtu, 20 April 2019 | 2:21pm
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika berucap pada Program Ramah Mesra IPK Kuala Lumpur Bersama Penduduk Segambut di Dewan Sri Segambut. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Belum ada buat laporan kes muat naik video prosiding mahkamah Najib - Polis

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung penyebaran satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata setakat ini tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

“Justeru kita akan buat laporan polis, ‘first information report’ (laporan maklumat pertama) (FIR) berhubung perkara itu untuk kita memulakan siasatan.

“Kita akan siasat dahulu daripada segi apa kesalahannya sebelum meneruskan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra Polis Kuala Lumpur Bersama Penduduk Segambut di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hanna Yeoh.

Menurut Mazlan, buat masa ini siasatan berhubung penyebaran video itu dibuat mengikut Kertas Inkuiri Polis (KEP).

Rakaman itu dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, dan ditonton sebanyak 272,700 kali serta mendapat lebih 2,221 komen selain dikongsi oleh 4,215 akaun sehingga jam 1.30 petang ini.

Rakaman berdurasi dua minit 12 saat diberi tajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ itu menunjukkan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyoal saksi dalam kes itu.

860 dibaca
Berita Harian X