Sabtu, 20 April 2019 | 7:57pm
Anggota Bomba mengangkat jenazah mangsa lemas dari Tasik Tmn Desa Kemandol, Jenjarom. - Foto ihsan Pembaca

Pelajar lemas mandi tasik

bhnews@bh.com.my

PIX Ihsan PDRM/ Pembaca

BANTING: Seorang pelajar lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Tasik Taman Desa Kemandol, Jenjarom, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mayat mangsa, Muhammad Azzaly Azman, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.53 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan sekolahnya itu pergi ke tasik berkenaan, pada jam 3.30 petang semalam.

“Mereka yang datang dari Telok Panglima Garang dan Sijangkang itu dipercayai mahu beriadah di kawasan berkenaan.

“Kira-kira sejam kemudian, tiga daripada mereka termasuk mangsa turun untuk mandi di tasik berkenaan.

“Namun, mangsa didapati tenggelam ketika hendak menyeberangi tasik dan tidak lagi timbul manakala dua rakannya berjaya naik ke atas tebing,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya tiba di lokasi kejadian bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat pada jam 6.21 petang.

“Mayat remaja lelaki itu berjaya ditemui pada jarak 15 meter dari tebing tasik berkenaan pagi tadi.

“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Azizan berkata, jenazah Allahyarham sudah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

469 dibaca
Berita Harian X