Sabtu, 20 April 2019 | 11:09pm
Kontena sampah tempat mayat bayi ditemui dekat Jalan Rejang 1, Setapak, di sini, mayat bayi yang dibungkus menggunakan kain ditemui seorang wanita ketika membuang sampah di lokasi kira-kira jam 3 petang tadi. - Foto NSTP

Mayat bayi dibuang tepi tong sampah di Setapak

KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki yang dibalut dengan gumpalan kain ditemui di tepi tong sampah di Jalan Rejang 1, Taman Setapak Jaya, di sini, petang tadi.

Mayat bayi berkenaan ditemui oleh salah seorang wanita yang melalui jalan berkenaan sebelum terlihat balutan kain mencurigakan yang dipenuhi darah.

Pada masa sama sebuah lori sampah sedang bersedia untuk mengangkat tong sampah berkenaan yang berisi sisa bahagian rumah yang diubahsuai.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, berkata wanita terbabit kemudian mengambil kain berkenaan dan menemui mayat bayi cukup sifat dalam gumpalan kain itu.


Anggota polis mengambil mayat bayi yang baru dilahirkan di Jalan Rejang 1, Setapak, mayat bayi yang dibungkus menggunakan kain ditemui seorang wanita ketika membuang sampah di lokasi kira-kira jam 3 petang tadi. - Foto NSTP

“Ketika kejadian wanita terbabit yang juga pengadu tidak melihat mana-mana individu yang disyaki membuang bayi berkenaan di kawasan berkenaan dan bertindak memaklumkan kejadian kepada polis.

“Mayat bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, secara fizikalnya, warna pada kulit mayat bayi berkenaan putih kemerahan namun pada masa ini bangsanya belum dapat dipastikan lagi.

“Pihak polis bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau luka pada mayat bayi berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju atau mana-mana balai polis berhampiran.

749 dibaca
Berita Harian X