Ahad, 21 April 2019 | 11:03am

5 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang direman

GEORGETOWN: Lima lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori di negeri ini.

Perintah reman hingga Sabtu depan dikeluarkan Majistret L Umma Devi di sini, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lima suspek berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 dan berusia antara 32 hingga 55 tahun itu adalah kumpulan kedua penguat kuasa direman berhubung kes berkenaan.

Bagaimanapun, 17 lagi penguat kuasa yang hadir menjalani proses rakaman percakapan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang semalam, dibebaskan dengan jaminan berikutan siasatan ke atas mereka sudah selesai.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lalu.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi berkenaan yang dipantau SPRM ketika ini.

Kelmarin, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman terbabit dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

LIMA penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori di negeri ini. - Foto Danial Saad
Berita Harian X