Ahad, 21 April 2019 | 1:38pm
PENGARAH JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor. - Foto Amir Irsyad Omar

JPJ Perak hantar 6 penguat kuasa bantu operasi di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dipinjamkan ke Pulau Pinang bagi membantu melancarkan operasi jabatan berkenaan di negeri ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor, berkata enam penguat kuasa dalam dua pasukan JPJ Perak itu dipinjamkan susulan penahanan dan siasatan kes rasuah membabitkan kakitangan JPJ di negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi di negeri ini berjalan seperti biasa dan anggota penguat kuasa dari JPJ Perak itu dipinjamkan sejak Jumaat lalu,” katanya di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan 22 lagi penguat kuasa dan pegawai JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.

Sumber SPRM berkata, penahanan itu adalah bagi siasatan peringkat kedua selepas peringkat pertama pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, hanya lima daripada 22 yang ditahan semalam direman tujuh hari bermula hari ini, manakala 17 yang lain dibebaskan dengan jaminan.

Kelmarin, 23 daripada 24 kakitangan JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 kakitangan berkenaan, susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang sehari sebelum itu. - BERNAMA

Berita Harian X