Isnin, 22 April 2019 | 8:55pm
Semalam, lima daripada 22 penguat kuasa JPJ negeri dan berusia antara 32 hingga 55 tahun yang diarah jalani proses rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri Sabtu lalu, direman seminggu. - NSTP/Danial Saad

Tiada pengurusan kanan JPJ negeri dipanggil - Mohamat Johari

GEORGETOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesahkan menerima senarai 21 lagi penguat kuasa agensi itu yang diarah menjalani proses rakaman percakapan esok.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor, berkata semua penguat kuasa diarah berbuat demikian di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

“Ia bagi membantu siasatan kes berhubung dakwaan menerima rasuah kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

“Semua mereka berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 dan berusia antara 26 hingga 40-an, selain tiada pengurusan kanan JPJ negeri dipanggil untuk menjalani proses sama,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, SPRM dilapor mengarah kumpulan ketiga penguat kuasa JPJ Pulau Pinang hadir menjalani proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan penguat kuasa JPJ negeri berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 yang disiasat dalam Ops Sarat setakat ini adalah seramai 67 anggota.


Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor. - Arkib NSTP

Difahamkan, sekurang-kurangnya 75 penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas yang dikatakan hanya dikenali dan difahami penguat kuasa terbabit.

Semalam, lima daripada 22 penguat kuasa JPJ negeri dan berusia antara 32 hingga 55 tahun yang diarah jalani proses rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri Sabtu lalu, direman seminggu.

Mereka adalah kumpulan kedua selepas 23 penguat kuasa JPJ negeri yang direman sehingga Jumaat lalu dengan seorang lagi masih ditahan reman sehingga esok.

562 dibaca
Berita Harian X