Selasa, 23 April 2019 | 11:37am

21 lagi anggota penguat kuasa JPJ rakam percakapan

GEORGETOWN: Seramai 21 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang termasuk seorang wanita hadir menjalani sesi rakaman percakapan.

Anggota penguat kuasa yang berusia antara 26 tahun hingga 40-an itu hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mereka adalah kumpulan ketiga diarah merakam percakapan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penguat kuasa JPJ negeri berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 yang disiasat dalam Ops Sarat setakat ini adalah seramai 67 anggota.

Sumber SPRM berkata, mereka diarah berbuat demikian bagi membantu siasatan kes berhubung dakwaan menerima rasuah kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

“Setakat ini kita masih belum dapat pastikan sama ada semua atau sebilangan suspek akan ditahan... biarkan proses rakaman percakapan dijalankan terlebih dahulu.

“Kita masih menunggu dua lagi suspek yang belum boleh didedahkan identiti mereka dan saya akan maklumkan apabila tangkapan ke atas mereka dibuat nanti,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor, berkata pihaknya masih menunggu keputusan berhubung tindakan ke atas anggota penguat kuasa JPJ bagi kumpulan kedua dan ketiga terbabit.

“Setakat ini kita masih menunggu perkembangan dari Ibu Pejabat JPJ, mereka yang akan putuskan setiap tindakan terhadap kumpulan anggota penguat kuasa berkenaan,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas yang dikatakan hanya dikenali dan difahami penguat kuasa terbabit.

Kelmarin, lima daripada 22 anggota penguat kuasa JPJ negeri dan berusia antara 32 hingga 55 tahun yang diarah jalani proses rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri Sabtu lalu, direman seminggu.

Mereka adalah kumpulan kedua selepas 23 penguat kuasa JPJ negeri yang direman sehingga Jumaat lalu dengan seorang lagi masih ditahan reman sehingga hari ini.

506 dibaca
ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi menjalani sesi rakaman percakapan. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X