Selasa, 23 April 2019 | 1:25pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang wanita maut apabila kenderaan itu terbabas sebelum merempuh tembok simen Plaza Tol Perling, Johor Bahru. - Foto Ihsan PDRM

Wanita maut kereta rempuh tembok plaza tol

ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas lalu merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Perling Lebuhraya Utara-Selatan pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, Chan Xiaochuin, 30, yang juga penumpang kereta Perodua Myvi, maut di lokasi kejadian manakala pemandunya, Ku Kim Cheong, 28, patah kaki akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa meninggal dunia berikutan kecederaan parah di kepala dan kaki.

“Kemalangan maut ini membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Gelang Patah menghala ke Pasir Gudang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal lalu merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Perling.

“Mangsa yang maut adalah penumpang hadapan kereta itu lokasi manakala pemandu yang patah kaki akibat tersepit dikejarkan ke hospital oleh ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai dengan kenderaan polis untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X