Selasa, 23 April 2019 | 3:17pm

Bekas banduan tak serik ulangi kes pecah rumah

KEPALA BATAS: Seorang bekas banduan tidak serik apabila terus menjalankan kegiatan pecah rumah walaupun baru setahun dibebaskan, dalam kejadian di Taman Seri Pinang, di sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari pemilik rumah berkenaan apabila ternampak ada tangga di belakang rumahnya hingga menimbulkan rasa curiga, kira-kira jam 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati terdapat seorang lelaki di bahagian dapur sedang mengambil beberapa barang untuk dilarikan.

“Suspek cuba melarikan diri selepas ternampak polis, namun cubaannya gagal apabila dia berjaya diberkas.

“Berdasarkan siasatan, suspek berusia 41 tahun terbabit aktif melakukan semula kegiatannya selepas dia dibebaskan dari penjara akhir tahun 2017,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, lelaki itu yang bergerak secara sendirian menggunakan modus operandi dengan memanjat kawasan belakang rumah menggunakan tangga dan mengumpil tingkap sebelum masuk ke kediaman terbabit.

“Sifat fizikal suspek yang kecil memudahkan dirinya untuk masuk hanya melalui tingkap diumpil.

“Dia juga pernah menyamar sebagai pekerja membaiki penghawa dingin untuk melakukan kegiatan jenayahnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penahanan lelaki berkenaan berjaya menyelesaikan lebih tujuh kes pecah rumah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

“Polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya televisyen, beg, telefon bimbit, jam tangan berjenama, barang kemas dan alat permainan video, dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

“Kita turut merampas peralatan untuk memecah rumah seperti pemotong besi, gergaji, spanar boleh laras serta alatan untuk pemeriksaan penghawa dingin untuk siasatan lanjut,” katanya.

“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah dan dia direman selama selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

185 dibaca
Noorzainy (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang kes pecah rumah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
Berita Harian X