Rabu, 24 April 2019 | 11:50am
ANGGOTA SPRM membawa tiga lelaki termasuk dua penguat kuasa JPJ untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. - Foto Danial Saad

Kes rasuah JPJ: 3 lagi direman

GEORGETOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap tiga lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perintah reman berkuatkuasa sehingga Selasa hadapan itu dikeluarkan Majistret L Umma Devi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan, dua daripada mereka adalah penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dan JPJ Perlis, manakala seorang lagi adalah bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Perlis.

Semalam, lebih 20 penguat kuasa JPJ dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai untuk memberi keterangan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar negeri ini.

Kesemua penguat kuasa gred 19 hingga 32 itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini bermula jam 9 pagi semalam.

Panggilan itu adalah siri ketiga selepas 46 anggota JPJ Pulau Pinang dipanggil untuk memberi keterangan kes sama sejak minggu lalu.

Minggu lalu, 23 daripada 24 anggota penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Beberapa hari selepas itu, 22 anggota penguat kuasa lagi ditahan, namun 17 daripada mereka difahamkan dibebaskan dengan jaminan.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu dipercayai sudah melebihi RM140,000.

533 dibaca
Berita Harian X