Rabu, 24 April 2019 | 12:56pm

Didenda kerana kahwin dan poligami tanpa kebenaran mahkamah

MARANG: Seorang kakitangan kerajaan dikenakan hukuman denda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, atas dua kesalahan berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Selain itu, tertuduh berusia 47 tahun turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas lelaki terbabit mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 126 dan Seksyen 37 (2) yang dibaca bersama Seksyen 19 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki yang sudah mempunyai isteri berusia 45 tahun didakwa berpoligami apabila berkahwin dengan pasangannya di sebuah masjid di Thailand pada 10 September 2018 tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada hakim syarie atau pendaftar.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 kerana poligami tanpa kebenaran mahkamah, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau empat bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, tertuduh dan pasangannya berusia 34 tahun turut didakwa berkahwin di alamat dan tarikh sama tanpa mendapat kebenaran pendaftar dan berlaku di luar mukim wanita itu bermastautin iaitu di Marang.

Bagi kesalahan itu, mereka dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan kerana berkahwin tanpa kebenaran.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Berita Harian X