Rabu, 24 April 2019 | 2:59pm
POLIS mencari saksi kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Plaza Tol Puchong menghala ke Kepong, Khamis lalu.
POLIS mencari saksi kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Plaza Tol Puchong menghala ke Kepong, Khamis lalu.

Polis cari saksi kemalangan maut di LDP

PETALING JAYA: Polis meminta bantuan saksi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini, Khamis lalu untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave secara bersendirian dipercayai terbabas berhampiran Plaza Tol Penchala menghala ke Kepong.

Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tembok batu di tepi jalan menyebabkan mangsa cedera parah di beberapa bahagian badan.

Anggota pasukan paramedik yang bergegas ke lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat.

Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820.

Berita Harian X