Rabu, 24 April 2019 | 4:00pm
SIJIL MBR disampaikan oleh Pengurus Pejabat MBR, Lee Pooi Leng, (tukuh dari kiri) kepada Rektor UiTM Kedah, Profesor Dr Shaiful Annuar Khalid, (tujuh dari kanan) sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min (tengah). - Foto Nor Farhani Che Ad

7 kilang kitar semula haram di Kedah ditutup

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menutup tujuh daripada 12 kilang kitar semula sisa plastik import yang beroperasi secara haram di negeri ini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Ooi Tze Min, berkata operasi itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) selepas pemilik kilang diberikan notis pengosongan premis minggu lalu.

“Kita mempunyai 12 kilang kitar semula sisa plastik import yang tidak berlesen, mereka ini tumbuh bagai cendawan sejak setahun lalu, di mana kilang-kilang kosong disewa di sekitar Sungai Petani iaitu di Taman Ria Jaya, Bakar Arang, Bukit Selambau dan Pinang Tunggal.

“Kilang-kilang lain kita akan tutup secara berperingkat selepas ini bagi memastikan pencemaran akibat kegiatan tidak bertanggungjawab ini dilumpuhkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tze Min berkata, kerajaan negeri juga tidak akan mengeluarkan lesen baharu untuk premis kitar semula, manakala lapan kilang kitar semula yang berlesen dikehendaki mengikut syarat yang lebih ketat.

Katanya, ini kerana terdapat aduan yang diterima daripada penduduk bahawa kilang berkenaan beroperasi pada waktu malam dan mengganggu tidur mereka.

“Jadi setiap kilang ini hanya akan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja, selepas waktu itu mereka tidak dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap isu ini bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar,” katanya.

86 dibaca
Berita Harian X