Khamis, 25 April 2019 | 9:55am

2 sahabat maut

PELABUHAN KLANG: Dua sahabat maut dengan seorang darinya digilis treler dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Amirul Naim Zainuddin, 18, yang juga pembonceng motosikal ditunggangi mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rakannya, Muhammad Daniel Imran, 18, yang menunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata siasatan awal pihaknya mendapati dua mangsa itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari Pulau Indah.

Katanya, ketika di lokasi kejadian, Muhammad Daniel dipercayai cuba memotong kenderaan lain namun gagal sebelum bergesel dan menyebabkan mereka terjatuh.

“Ketika itu, ada treler yang dipandu lelaki berusia 52 tahun melalui kawasan itu dan gagal mengelak hingga menyebabkan Amirul Naim tergilis,” katanya.

Shamsul Amar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

496 dibaca
Berita Harian X