Jumaat, 26 April 2019 | 4:56pm
DR Chandra Muzaffar bersama keluarga keluar dari mahkamah selepas kes rayuan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar untuk diikat jamin atas didakwa membunuh suaminya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DR Chandra Muzaffar bersama keluarga keluar dari mahkamah selepas kes rayuan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar untuk diikat jamin atas didakwa membunuh suaminya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah sedia kena tahan dalam rumah jika dapat ikat jamin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 10 Mei bagi mendengar hujahan pihak pendakwaan terhadap rayuan isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin atas dakwaan membunuh suaminya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu bagi memberi masa yang cukup kepada pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan Allahyarham Nazrin Hassan, membuat hujahan.

Terdahulu peguam tertuduh, Samirah Muzaffar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika mengemukakan hujahan bagi pihak pembelaan, berkata terdapat asas kukuh untuk mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin.

Peguam berkenaan memaklumkan, anak guamnya rela sekiranya dilepaskan walaupun dengan syarat jaminan yang ketat sementara menunggu perbicaraan.

“Anak guam saya sedia mematuhi syarat jaminan ketat termasuk tinggal 24 jam di dalam rumah asalkan dapat bersama empat anaknya yang mana dua daripada mereka berusia empat tahun ke bawah.

“Beliau juga tidak kisah sekiranya mahkamah menetapkan syarat perlu melapor diri di balai polis setiap minggu atau setiap hari. Beliau rela terima segala syarat mahkamah,” katanya.

Pada 11 April lalu, Samirah, 44, yang juga tertuduh pertama dalam kes pembunuhan suaminya, Nazrin Hassan, gagal dalam permohonan mendapatkan jaminan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim mahkamah berkenaan, Datuk Ab Karim Ab Rahman dilaporkan, berkata mahkamah mengambil kira seriusnya dakwaan dihadapi Samirah yang membawa hukuman berat, iaitu gantung, selain ada kemungkinan saksi kes itu akan diganggu.

Ab Karim kemudian menetapkan 21 Jun ini untuk tarikh sebutan bagi pengurusan kes, manakala perbicaraan bermula 3 September ini.

Pada 12 Mac lalu, Samirah serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun dua tertuduh juvana berkenaan dibenarkan ikat jamin pada 27 Mac lalu, masing-masing dengan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin berbeza.

Terdahulu dalam prosiding sama hari ini, Muhammad Shafee berkata, hakim tidak konsisten dalam mengendalikan permohonan jaminan oleh Samirah dan dua tertuduh juvana dalam kes itu.

Katanya, permohonan ikat jamin Samirah ditolak kerana mahkamah lebih rendah memutuskan ada kemungkinan saksi kes akan diganggu berikutan pembunuhan adalah membabitkan keluarga dan hubungan saksi juga adalah ahli keluarga.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk membebaskan dengan jaminan dua remaja itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam hujahannya, berkata Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Katanya, tidak ada kesilapan ketika hakim menggunakan budi bicaranya untuk menolak ikat jamin Samiran sebelum ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X