Sabtu, 27 April 2019 | 3:49pm
Mohamad Haris Mohamad Fuad maut selepas dipercayai diseret kenderaan berat sejauh kira-kira 13 kilometer dalam kemalangan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, hari ini. - Foto ihsan pembaca
Mohamad Haris Mohamad Fuad maut selepas dipercayai diseret kenderaan berat sejauh kira-kira 13 kilometer dalam kemalangan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Penunggang maut diseret 13 km

IPOH: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dipercayai diseret kenderaan berat sejauh kira-kira 13 kilometer dalam kemalangan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi dan pihak PLUS menemui motosikal Kawasaki Z800 bersama kaki kiri mangsa di kawasan berkenaan, sebelum menemui mayat Mohamad Haris Mohamad Fuad, 23, di KM 260 iaitu hampir 13 km dari lokasi mangsa dipercayai mula diseret .

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 6.45 pagi dan siasatan awal polis mendapati mangsa menunggang sendirian dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju rumah keluarganya di Pulau Pinang.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum digilis kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis dan terseret sejauh beberapa kilometer.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengesan kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa, Nur Fatin Nabillah, 25, berkata adik bongsu daripada empat beradik itu bekerja sebagai penyelia di tapak projek Sistem Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara.

“Adik sudah lebih dua tahun bekerja dan sering pulang ke rumah keluarga di Taman Desa Jawi, Pulau Pinang. Awal pagi semalam dia ada memberitahu saya ingin pulang selepas habis bekerja.

“Dari malam tadi kami tunggu dia tidak sampai, sebelum pagi ini ayah dimaklumkan oleh polis mengenai kemalangan berlaku,” katanya ketika ditemui di HRPB di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung mereka di Batu 5 Jalan Baharu, Parit Buntar, dekat sini, untuk dikebumikan.

Berita Harian X