Isnin, 29 April 2019 | 2:36pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PEGUAM Negara, Tommy Thomas hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Peguam Negara mohon lapang kes 1MDB untuk bicara SRC

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak dilapangkan bagi membolehkan kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara, Tommy Thomas kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali di sini, hari ini, dengan menyatakan pihaknya akan menulis surat kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes 1MDB berhubung perkara itu.

Terdahulu, Thomas berkata kes SRC hanya ditetapkan sehingga 10 Mei ini bagi memberi laluan untuk perbicaraan kes 1MDB yang sudah ditetapkan selama 14 hari bermula 14 Mei ini.

“Bagaimanapun, pihak kami memohon arahan mahkamah untuk melapangkan tarikh yang sudah ditetapkan oleh Hakim Collin dan meneruskannya dengan perbicaraan SRC International.

“Ini kerana SRC International adalah kes berprofil tinggi dan lebih baik untuk memberi fokus kepada satu perbicaraan sebelum beralih kepada yang lain.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan akan berjumpa dengan Hakim Collin pada jam 9 pagi esok untuk mengemukakan permohonan berkenaan,” katanya.

Kes SRC International bermula 3 April lalu dan sepatutnya berakhir 10 Mei depan, bagaimanapun mahkamah belum menetapkan sebarang tarikh baharu untuk menyambung perbicaraan yang akan memanggil lebih 60 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 5 April lalu, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh perbicaraan kes 1MDB yang ditetapkan bermula 15 April hingga 3 Mei ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan dana SRC.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes 1MDB dijalankan bermula 14, 15 dan 17, Mei, sebelum disambung 14, 15 dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10, 11, 12, 13 dan 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah pihaknya pernah mencadangkan supaya perbicaraan 1MDB didengar bermula September.

“Memang ini yang pernah dicadangkan oleh kami (pembelaan) kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1MDB.

“Kami merasakan adalah terlalu bercita-cita tinggi untuk mendengar kes baharu sebelum perbicaraan terdahulu selesai,” katanya.

Mohd Nazlan kemudian memutuskan bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan perbicaraan dan bersedia melapangkan kes lain kerana SRC International membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, katanya ia terpulang kepada budi bicara dan kelapangan hakim yang mendengar kes 1MDB.

Sementara itu, pada prosiding sama Peguam Negara, turut memohon supaya mahkamah mula bersidang pada jam 9 pagi hingga berakhir jam 3 petang sepanjang Ramadan yang bermula Isnin ini.

Thomas berkata cadangan itu bagi membolehkan pihak beragama Islam pulang lebih awal untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee Abdullah, membantah perkara itu dengan alasan mahkamah perlu mengambil kira mereka yang bukan beragama Islam dan tidak berpuasa.

Beliau mencadangkan supaya waktu rehat ditetapkan antara 30 minit sehingga 45 minit untuk mereka yang bukan beragama Islam makan dan digunakan untuk yang lain menunaikan solat.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 3.30 petang.

Berita Harian X