Selasa, 30 April 2019 | 3:12pm

Tempoh reman penguat kuasa JPJ disambung

GEORGETOWN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan permohonan sambung reman selama tujuh hari ke atas seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Perintah reman berkuat kuasa hingga Ahad ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan Nur Fardrina Zulkhairi, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sumber SPRM berkata, permohonan sambung reman ke atas penguat kuasa itu dibuat selepas dia enggan memberi kerjasama sepanjang sesi siasatan yang dijalankan minggu lalu.

“Penguat kuasa ini enggan memberi kerjasama dan berlagak samseng sepanjang sesi rakaman percakapan dijalankan, selain kita percaya dia mendalangi kegiatan terbabit.

“Sambungan permohonan reman ke atas penguat kuasa terbabit dibuat kerana ada beberapa perkara berkaitan dia yang masih gagal dirungkai,” katanya kepada BH hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap tiga lelaki, termasuk seorang penguat kuasa JPJ negeri.

Mereka adalah antara 21 individu, termasuk 19 penguat kuasa JPJ negeri yang diarah menjalani rakaman percakapan bagi kumpulan ketiga di Pejabat SPRM negeri, kelmarin, sekali gus menjadikan keseluruhan suspek bagi kes terbabit adalah seramai 79 orang.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

266 dibaca
Berita Harian X