Selasa, 30 April 2019 | 7:54pm

Kerana cemburu isteri dibakar

MELAKA: Angkara cemburu buta, seorang lelaki sanggup bertindak membakar isterinya sehingga badan wanita berkenaan terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian di Taman Krubong Permai, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suami wanita terbabit membakar mangsa menggunakan petrol yang diambil daripada tangki motosikal milik isterinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian oleh pihak hospital kira-kira jam 7.45 pagi, terdapat seorang wanita berusia 39 tahun berada di zon merah Hospital Melaka, akibat melecur teruk disyaki dibakar oleh suaminya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, mengesan suspek sebelum menemuinya di tepi sungai di kawasan bekas tempat pelupusan sampah, Krubong, di sini, kira-kira jam 3 petang.

“Suspek berusia 45 tahun itu bertindak cuba melarikan diri ke kawasan semak sebaik pihak polis memperkenalkan diri.

“Ketika ditahan suspek tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek,” katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, hasil soal siasat dijalankan suspek yang baru dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 17 April lalu mengaku terbabit dengan kejadian itu selain berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol semasa kejadian.

“Suspek mendakwa dia berbuat demikian bermotifkan cemburu kerana beranggapan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif Methamphetamine selain mempunyai enam rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X