Rabu, 1 Mei 2019 | 12:35pm

SPRM kesan saksi kes penguat kuasa JPJ

GEORGETOWN: Beberapa saksi bagi siasatan kes penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang didakwa menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori sudah dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, saksi berkenaan ialah beberapa individu yang juga adik-beradik dan bekerja dengan syarikat logistik berpangkalan di Pulau Pinang.

“Mereka ini menyerah diri dan datang ke Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, malam tadi bagi menjalani proses rakaman percakapan.

“Mereka ini menjalankan perniagaan logistik secara usahasama dengan ahli keluarga. Hasil rakaman percakapan, saksi juga memberi maklum balas positif dan kita tidak berhasrat untuk memohon perintah reman ke atas mereka,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan sambung reman selama enam hari ke atas seorang penguat kuasa JPJ negeri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Permohonan itu dibuat selepas penguat kuasa terbabit dikatakan enggan memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan minggu lalu, selain dipercayai mendalangi kegiatan terbabit.

Sumber berkata, pihaknya sebelum ini sukar mengenal pasti saksi kes itu selepas identiti mereka dikatakan dirahsiakan semua penguat kuasa yang diarah menjalani sesi rakaman percakapan.

“Kita agak sukar untuk mengenal pasti dentiti saksi terbabit, selain turut menjalankan semakan melalui transaksi akaun bank berkaitan.

“Bagaimanapun, identiti mereka berjaya dibongkar selepas dimaklumkan penguat kuasa JPJ negeri yang masih dalam tahanan reman. Melalui perkembangan ini, kita yakin mampu menyelesaikan siasatan kes ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sehingga kini, seramai 79 individu, termasuk 73 penguat kuasa JPJ negeri berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 sudah menjalani rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas yang hanya dikenali penguat kuasa terbabit.

1567 dibaca
Berita Harian X