Rabu, 1 Mei 2019 | 6:23pm
LORI membawa muatan sawit bertembung dengan sebuah treler membawa muatan bijih besi mengorbankan seorang pemandu dan seorang parah di Jalan Gua Musang-Kuala Berang. - Foto Ramli Ibrahim

Pemandu lori sawit maut tersepit

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya parah apabila kenderaan mereka bertembung dengan sebuah treler di Felda Aring 6 Jalan Gua Musang-Kuala Berang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Muhamad Zaki Ismail, 30, berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 7, maut di tempat kejadian.

Kelindan lori yang parah, warga Indonesia, Budianto, 41 dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu treler, Muhamad Arif Ikmal Mohti, 22, dari Jalan Seroja 1 Taman Pusing, Ipoh Perak, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufi Maidin, berkata kejadian itu berlaku ketika lori dipandu mangsa, yang sarat muatan sawit, dalam perjalanan dari Aring 6 ke kilang sawit Aring.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, sebuah treler sarat muatan bijih besi memandu perlahan menaiki bukit berada di laluan bertentangan, dari Aring 5 ke Kuantan.

“Mangsa dipercayai nampak treler terlalu hampir ketika menuruni bukit, namun tidak dapat mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan treler terbabit.

“Muhamad Zaki meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati treler yang sarat dengan muatan bijih besi itu berada di laluan bertentangan kerana jalan rosak teruk,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan hari ini.

“Kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

1114 dibaca
Berita Harian X