X
Khamis, 2 Mei 2019 | 10:55am

Bicara 1MDB tangguh Ogos

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sepatutnya bermula 14 Mei ini ditangguhkan kepada 19 Ogos depan.

Kes itu berkaitan 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Tarikh baharu itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan pendakwaan bagi memberikan laluan kepada perbicaraan kes SRC International yang sedang berlangsung.

Collin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Muhammad Shafee tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Hakim itu kemudian menetapkan perbicaraan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos dan bersambung pada 2 September hingga 14 November depan.

Collin turut mengingatkan kedua-dua pihak supaya memberi komitmen terhadap kes 1MDB berikutan ini adalah kali kedua perbicaraan membabitkan kes itu ditangguhkan.

Sebelum ini pihak pendakwaan memfailkan notis usul supaya perbicaraan 1MDB ditunda sementara menunggu perbicaraan kes SRC International selesai.

Pengurusan kes 1MDB turut ditetapkan pada 21 Jun depan.

Berita Harian X