Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:14pm

3 beradik disyaki didera ibu kandung

GEORGETOWN: Seorang ibu tergamak mendera tiga anaknya termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) di kediaman mereka di Tanjung Tokong, di sini.

Kejadian terbongkar apabila kanak-kanak terbabit berusia antara dua hingga 11 tahun, melarikan diri dan pergi ke rumah nenek mereka berhampiran pada 16 April lalu.

Bapa kanak-kanak itu yang berusia 40 tahun berkata, selepas berpisah dengan bekas isteri berusia 42 tahun pada Jun tahun lalu, anak perempuan yang juga anak bongsunya berusia dua tahun yang mengalami sakit Encephalocele (otak di luar tempurung kepala) serta dua lagi iaitu anak lelaki berusia tujuh tahun dan perempuan berusia 11 tahun, tinggal bersama ibu kandung mereka.

Beliau mendakwa, dia tidak mengetahui perbuatan itu sehinggalah dihubungi ibu mentuanya pada April lalu yang meminta supaya mengambil tiga anaknya di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana ibu mereka menghilangkan diri, selepas anaknya itu ditahan di wad kerana disyaki didera.

“Anak sulung saya (dipercayai) dipukul dengan sebatang besi di lengan kiri dan kaki kiri sehingga lebam, manakala anak kedua pula ditendang pada kemaluan selain mengugut mahu membunuh mereka menggunakan pisau.

“Manakala badan anak bongsu pula digoncang, mujurlah tidak memberi kesan terhadap penyakit di kepalanya,” katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Sobri berkata, tiga anaknya kini di bawah jagaannya bersama ibunya di Kampung Tanjong Tokong, di sini.

Katanya, anak pertama dan keduanya seakan trauma dan boleh menceritakan kembali dengan jelas kejadian terbabit, malah difahamkan mereka sering diperlakukan dengan kasar dan dia tidak pasti mengapa bekas isteri berubah sikap begitu.

“Selain tidak diberi makan, anak sulung dan kedua juga tidak dibenarkan bersekolah sejak tahun lalu sedangkan saya tidak pernah culas memberi wang belanja.

“Hanya selepas kejadian itu, saya berhubung dengan guru dan kini mereka sudah kembali bersekolah sejak minggu lalu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai minuman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek kini sedang dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Bapa memangku anak bersama dua lagi anaknya dipercayai didera ibu kandung semasa ditemui di Tanjong Tokong. - Foto Zuhainy Zulkiffli
Bapa memangku anak bersama dua lagi anaknya dipercayai didera ibu kandung semasa ditemui di Tanjong Tokong. - Foto Zuhainy Zulkiffli
Berita Harian X