Isnin, 6 Mei 2019 | 5:51pm
SURI rumah menemui seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam kotak lalu membawanya ke Balai Polis Lukut. - Foto Ihsan Polis
SURI rumah menemui seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam kotak lalu membawanya ke Balai Polis Lukut. - Foto Ihsan Polis

Terkejut jumpa bayi perempuan depan rumah

PORT DICKSON: Seorang wanita terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam kotak di hadapan pagar rumahnya di Lukut, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata ketika kejadian pada jam 10.15 pagi itu, wanita berusia 44 tahun berkenaan sedang membuang sampah sebelum menemui sebuah kotak lalu membukanya.

Katanya, terkejut dengan insiden itu, wanita terbabit terus membawa bayi malang itu ke Balai Polis Lukut.

“Ketika ditemui bayi masih bertali pusat, dibalut dengan kain pelikat dan urinya masih berada dalam kotak,” katanya.

Aidi Sham berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan susulan dan kini dalam pemerhatian.

“Siasatan awal polis mempercayai bayi itu baru dilahirkan lalu ditinggalkan di sebuah rumah. Polis giat memburu ibu kepada bayi berkenaan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, orang ramai atau mana-mana klinik yang mempunyai maklumat berkaitan wanita mendapatkan rawatan kelahiran diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Berita Harian X