Selasa, 7 Mei 2019 | 1:49am

4 lelaki larikan 8 dulang emas

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan dulang barangan kemas dilarikan empat lelaki dalam kejadian rompakan di sebuah pasar raya di Kajang, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 7.43 malam itu, ketika umat Islam sedang berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata ketika rompakan, suspek bersenjatakan objek menyerupai pistol, namun tiada das tembakan dilepaskan.

“Kita mendapat panggilan daripada pengawal keselamatan kedai itu mengatakan ada kejadian samun berlaku.

“Polis masih menyiasat latar belakang suspek terbabit dan anggaran kerugian premis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Asisten Superintendan, S Vekram menerusi talian 019-4737108.

Berita Harian X