Rabu, 8 Mei 2019 | 11:46pm

Kastam Thai tahan 15 individu, rampas diesel, petrol dari Malaysia

SONGKHLA: Kastam Thailand hari ini menumpaskan cubaan menyeludup 5,000 liter diesel serta petrol dari Malaysia dan menahan 15 warga Thai.

Jurucakap Kastam berkata dalam kejadian antara 4 hingga 7 pagi (waktu tempatan) hari ini, pihak Kastam Thailand mengesan 15 kenderaan yang mencurigakan di sempadan Padang Besar, Perlis - Sadao, Songkhla.

“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan, termasuk 10 buah pikap, diubah suai untuk membawa 200 hingga 500 liter petrol dan diesel.

“Kesemua 15 pemandu kenderaan itu turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Harga petrol RON 95 ialah RM2.08, RON 97 RM2.80 dan diesel ialah RM2.18 di Malaysia.

Di Thailand, harga Diesel ialah 28.09 Baht (RM3.67) dan petrol 31.69 Baht (RM4.14) manakala gasohol (campuran petrol dan ethanol) pelbagai gred adalah antara 29.38 Baht (RM3.83) dan 28.09 Baht (RM3.67). - BERNAMA

359 dibaca
Berita Harian X