Khamis, 9 Mei 2019 | 5:25pm

Lelaki ditahan, polis rampas dadah bernilai RM11,020

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11,020 yang ditemui dalam kereta suspek di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jinjang, di sini, 28 April lalu.

Menerusi pemeriksaan anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, polis merampas tujuh paket dan tujuh keping aluminium foil mengandungi dadah jenis ganja, methamphetamine, ketamin, pil ekstasi serta Erimin 5.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata ketika rondaan, pihaknya mendapati sebuah kereta Mercedes Benz dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu sebelum bertindak membuat pemeriksaan.

Katanya, pihaknya merampas dadah berkenaan yang diletakkan dalam sebuah kotak di atas tempat duduk sebelah kiri penumpang.

“Ketika pemeriksaan lanjut, kita temui satu lagi paket berisi dadah jenis methamphetamine di bahagian tengah antara tempat duduk penumpang dan pemandu.

“Turut dirampas sejumlah wang tunai dan barangan kemas. Hasil siasatan juga dapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek dituduh di Mahkamah Majistret Jalan Duta, di sini, hari ini, mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dituduh di mahkamah selepas direman selama 11 hari bermula 29 April lalu.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama dua hingga lima tahun dan dikenakan hukuman sebatan sebanyak tiga hingga lima kali.

“Bagi akta dadah terbabit, ia boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Berita Harian X