Khamis, 9 Mei 2019 | 5:25pm
MAYAT Yuen Khang dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. - Foto Rosli Ilham

Pemancing hilang ditemui, seorang masih hilang

CHUKAI: Empat daripada lima pemancing yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kuala Dungun, awal pagi semalam, ditemui tengah hari tadi, dengan seorang daripadanya meninggal dunia.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata semua mangsa berbangsa Cina ditemui jam 1 tengah hari tadi pada jarak 30 batu nautika arah timur Kertih, manakala seorang lagi masih hilang.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chan Kai Wai, 51; manakala yang masih hilang Chong Yuen Khang, 36.

Tiga lagi yang terselamat dikenali sebagai Lok Win Thye, 28; Choo Yaw Mu, 48 dan seorang warga Singapura, Tan Buck Choon.

Beliau berkata, empat mangsa berkenaan ditemui oleh pesawat Dauphin AS365N yang digerakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Katanya, ketika ditemui tiga mangsa yang dalam keadaan keletihan dan dehidrasi berpaut pada boya, dengan mayat Yuen Khang diikat pada boya berkenaan.

Beliau berkata, mereka ditemui pada jarak kira-kira 15 batu nautika daripada lokasi bot karam.

"Tiga mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala mayat Yuen Khang dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan maklumat, mangsa yang masih hilang dipercayai tenggelam bersama bot dan aset Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin masih berusaha mencari mangsa," katanya.

Rashidilhadi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 11.30 malam tadi sebelum mengaktifkan Ops CARILAMAT jam 11.45 malam dengan kekuatan 90 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin Kuantan dan bantuan nelayan tempatan.

"Tiga helikopter Maritim Malaysia iaitu satu AW139 serta dua Dauphin AS365N3 diatur dan digerakkan untuk CARILAMAT di sektor pencarian seluas 170 batu nautika persegi dan dibantu sebuah kapal ronda maritim KM NUSA," katanya.

Dalam pada itu Rashidilhadi berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, bot dinaiki lima mangsa bersama seorang tekong dan dua awak-awak karam selepas dibadai ribut dan ombak besar di perairan Kuala Dungun, Dungun.

Tekong dan dua awak-awak bot berkenaan diselamatkan sebuah bot nelayan, manakala lima pemancing berkenaan terpisah dan hilang akibat ombak kuat.

Berita Harian X