Khamis, 9 Mei 2019 | 7:09pm

Ibu saudara diberi hak penjagaan dua anak yatim

KUALA LUMPUR: Penantian hampir empat tahun bagi anak mangsa kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berakhir selepas Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan hak penjagaan (Hadanah) kanak-kanak itu diserah kepada ibu saudara mereka.

Hakim Syarie Zaim Md Yudin membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan semua saksi termasuk ibu saudara kanak-kanak itu, Yusnidah Hussain 51, dan nenek dua kanak-kanak itu, Wirda Syamsuddin, 56, masing-masing selaku plaintif dan defendan kes itu.

Sebaik saja mahkamah membuat keputusan itu, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 11, menangis teresak-esak sambil memeluk Yusnidah kerana gembira dia dan adiknya, Nur Firuza Aqila, 8, dapat tinggal bersama ibu saudara.

Zaim dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat kanak-kanak itu tidak harus dipisahkan malah laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati psikologi dua beradik berada pada tahap yang baik.

“Mereka gembira tinggal bersama ibu saudaranya yang dipanggil ‘mama’. Mahkamah percaya plaintif memberi kasih sayang yang secukupnya kepada mereka.

“Dalam keterangan yang diambil daripada dua kanak-kanak itu pada April lalu, Nur Firuza Amira menyatakan dia suka dan selesa tinggal bersama plaintif manakala adiknya Nur Firuza Aqila memberitahu mereka sudah tinggal dengan plaintif sejak dari kecil,” katanya.

Faktor lain yang turut diambil kira mahkamah termasuk rumah plaintif berdekatan dengan kubur ibu bapa Amira, dan Aqila, yang membuatkan dua beradik itu lebih selesa tinggal bersama plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan walaupun hak penjagaan itu adalah milik plaintif, Wirda yang juga nenek kepada kanak-kanak itu mempunyai hak lawatan.

“Hak lawatan termasuk cuti sekolah dibahagikan kepada dua dan sambutan hari raya mengikut giliran setiap tahun antara plaintif dan defendan,” katanya.

Pada prosding hari ini, Yusnidah diwakili peguam syarie Mahyuddin Md Zahari manakala Wirda diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.

Sementara itu, Yusnidah ketika ditemui media di luar mahkamah berkata, beliau bersyukur apabila keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

Amira yang memeluk erat ibu saudaranya sambil menangis hanya mengangguk kepala apabila ditanya, ‘seronok tinggal dengan mama?’ oleh wakil media.

“Selama empat tahun menunggu. Tadi pun masa datang sini Amira menangis takut, dipisahkan daripada Kak Ngah (Yusnidah).

“Kak Ngah tidak janji apa-apa cuma akan buat yang terbaik dan tak akan pisahkan hubungan dengan nenek yang sepatutnya berhak menjaga anak-anak ni. Kita faham tapi mereka lebih selesa sebab dari kecil bersama dengan Kak Ngah,” katanya.

Pada 11 Ogos 2015 , Yusnidah diberikan hak penjagaan sementara oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap dua kanak-kanak berkenaan.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan.

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves dekat sini.

Yusnidah Hussain bersama dua beradik yatim piatu, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam dan Nur Fizura Aqila Fairuz Nizam di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur selepas mendapat hak penjagaan terhadap dua beradik yatim piatu yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di lebuh raya DUKE pada Mei 2015. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X