Jumaat, 10 Mei 2019 | 2:47pm

Mahkamah tolak rayuan Samirah Muzaffar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar, untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Kamardin Hashim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini yang menolak permohonan ikat jamin Samirah, seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan CEO terbabit yang juga suaminya, Allahyarham Nazrin Hassan.

Kamardin ketika membacakan keputusan itu, berkata mahkamah berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam hujahnya, berkata tertuduh tidak boleh dibenarkan ikat jamin kerana kes dihadapinya adalah jenayah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Jamil berkata, adalah tidak adil untuk tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diberikan ikat jamin sedangkan hampir 100 peratus tertuduh kes sama sebelum ini direman sehingga kes selesai.

“Apa istimewanya untuk mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan alasan untuk menjaga anaknya sedangkan mereka masih mempunyai bapa kandung.

“Tidak ada yang luar biasa dalam kes ini kecuali laporan pertama bedah siasat berlainan dengan laporan polis dan bomba,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pemohon, dalam hujahnya, berkata tiada bukti anak buahnya akan mengganggu saksi seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Selain itu, katanya, anak guam beliau juga tidak mempunyai motif untuk membunuh suaminya dan itu masih belum boleh dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Pada 11 April lalu, Samirah, 44, yang juga tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Nazrin gagal mendapatkan jaminan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 12 Mac lalu, Samirah serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, dua tertuduh juvana berkenaan dibenarkan ikat jamin pada 27 Mac lalu, masing-masing dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X