Sabtu, 11 Mei 2019 | 10:50am

14 pelayan pelanggan warga asing ditahan

PUCHONG: Seramai 14 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan ditahan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Selangor dalam serbuan ke atas sebuah kelab di Bandar Puteri Puchong di sini, awal pagi tadi.

Lapan daripada wanita berkenaan adalah warganegara Vietnam manakala selebihnya rakyat Thailand.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor, berkata dalam serbuan pada jam 1.15 pagi itu, pasukan itu turut menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,211 dalam operasi itu. Berdasarkan semakan, premis itu mempunyai lesen,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995.

Berita Harian X