Ahad, 12 Mei 2019 | 12:58pm

Pemuda maut berkonvoi

HULU SELANGOR: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan motosikal rakannya di Kilometer 432.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai, berkata kemalangan kira-kira jam 2.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Muhamad Fadzil Zulkuply, 25, yang menunggang motosikal jenis YAMAHA Legend berkonvoi bersama beberapa rakan dari Hulu Bernam menuju ke Padang Jawa, Klang.

Bagaimanapun, katanya sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan motosikal ditunggangi rakannya, Ahmad Izzuddin Musa, 22, menyebabkan dia terjatuh di lorong kiri.

“Muhamad Fadzil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Rakannya yang turut parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

704 dibaca
Berita Harian X