Ahad, 12 Mei 2019 | 8:39pm
Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dua suspek yang menyamun sebuah banglo di TTDI, awal pagi tadi. Turut dirampas adalah beberapa barangan berharga dan dokumen milik mangsa yang dilarikan suspek. - Ihsan PDRM
Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dua suspek yang menyamun sebuah banglo di TTDI, awal pagi tadi. Turut dirampas adalah beberapa barangan berharga dan dokumen milik mangsa yang dilarikan suspek. - Ihsan PDRM

Baru 10 jam samun, dah kena tangkap

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 10 jam selepas sebuah banglo di Taman Tun Dr Ismail di sini, disamun, polis berjaya menyelesaikan kes itu dengan penahanan dua suspek yang mendalangi kes itu, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, berkata siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek memecah masuk banglo didiami empat sekeluarga itu, kira-kira jam 2.30 pagi ketika penghuninya sedang tidur.

“Banglo itu didiami sepasang suami isteri berusia 40-an, anak pasangan itu berusia enam tahun serta ibu isteri mangsa berusia 60-an.

“Suspek kemudian mengugut semua mangsa dengan pisau supaya menyerahkan semua barangan berharga sebelum mengikat keluarga itu dengan tali.

“Ketika kesemua mangsa sedang diikat, ibu isteri mangsa mengalami kecederaan pada jari akibat terhiris dengan pisau yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua penjenayah kemudian melarikan pelbagai barangan berharga termasuk beberapa utas jam tangan serta sejumlah wang tunai dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM60,000.

“Menerusi siasatan yang dijalankan dan maklumat risikan yang diperoleh, anggota kita akhirnya berjaya mengesan kedudukan kedua-dua suspek yang juga warga tempatan itu.

“Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis TTDI bersama pasukan khas balai polis itu kemudian menyerbu dua buah rumah di Kampung Sungai Penchala, kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan berjaya menahan kedua-dua suspek,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, polis turut menemui semula sebahagian barangan berharga yang dilarikan, antaranya empat telefon bimbit, tiga utas jam tangan serta beberapa dokumen milik mangsa serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, pecah rumah dan curi.

“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 25 dan 30 tahun, akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun sehingga mendatangkan kecederaan.

“Kita percaya dengan penahanan kedua-dua suspek itu dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah yang berlaku di sekitar TTDI sejak kebelakangan ini,” kata Ruslan.

Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kejadian lain yang berkaitan, diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau Ketua Polis Balai TTDI, Deputi Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi di talian 019-8582219.

Berita Harian X