Isnin, 13 Mei 2019 | 12:39pm
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Batu Kurau dan Kamunting pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Dua beradik tokan dadah ditahan

TAIPING: Polis menahan dua beradik dipercayai tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu Kurau, di sini, Sabtu lalu.

Polis menemui heroin seberat 2.9 kilogram dianggarkan bernilai RM45,000 dalam serbuan jam 1 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 46 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Audi TT bernilai RM70,000, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego LC dan wang tunai RM400,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, hari ini.

Razlam berkata, kedua-dua beradik itu kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Mei ini dan ujian air kencing dijalankan mendapati kedua mereka positif dadah jenis Methampetamin.

Katanya, mereka dipercayai sudah menjalankan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu dan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Berita Harian X