Isnin, 13 Mei 2019 | 2:50pm

SPRM tungkus lumus siapkan kertas siasatan

GEORGETOWN: Keseluruhan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang diarah menjalani sesi rakaman percakapan kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori di Pulau Pinang, dijangka dituduh di mahkamah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, proses pertuduhan itu akan dilakukan selepas kertas siasatan bagi kes terbabit siap sepenuhnya.

“Setakat ini, kita masih bertungkus lumus menyiapkan kertas siasatan terbabit dan berharap ia dapat dilengkapkan secepat mungkin.

“Kertas siasatan itu kemudian akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita menjangka dapat membuat pertuduhan terhadap keseluruhan penguat kuasa JPJ terbabit,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan beberapa saksi yang juga adik-beradik dan bekerja di syarikat logistik di Pulau Pinang berjaya dikesan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Pada 23 April lalu, dua daripada 21 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi kumpulan ketiga diarah menghadiri sesi rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri, di sini, diberi pengecualian daripada menjalani sesi berkenaan.

Seorang suspek itu dikecualikan berikutan mengalami kecederaan akibat kemalangan, manakala seorang lagi kini ditahan di penjara Indonesia.

Hingga kini, seramai 74 penguat kuasa JPJ negeri berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 sudah menjalani rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

638 dibaca
Berita Harian X