Selasa, 14 Mei 2019 | 3:05pm
Dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek selepas serbuan polis ke sebuah rumah di Kampung Kerangan, Lawas. - Foto Melvin Joni
Dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek selepas serbuan polis ke sebuah rumah di Kampung Kerangan, Lawas. - Foto Melvin Joni

Jumpa senapang, pistol dalam serbuan dadah

LAWAS: Dua laras senapang patah dan sepucuk pistol buatan sendiri serta 25 butir peluru senapang patah ditemui dalam tiga serbuan berasingan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Lawas, semalam.

Seramai sebelas individu turut ditahan dalam serbuan itu dengan sejumlah dadah seberat 72.85 gram yang dianggarkan bernilai RM24,845 dirampas.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki berusia 34, 52 dan 64 tahun dengan seorang daripadanya warga Indonesia ditahan dan dadah jenis syabu seberat 37.6 gram bernilai RM11,280 dirampas.

“Tangkapan dibuat dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 2 pagi semalam ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Punang Berayong, Long Sukang.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 52 tahun positif dadah jenis syabu dan amphetamine. Mereka yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, seorang suri rumah bersama lima lelaki yang berusia antara 22 hingga 47 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Semua suspek ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Kerangan, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin selepas pasukan operasi JSJN Sarawak menjumpai sejumlah 22.80 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10,515.

Saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek lelaki terbabit positif dadah jenis syabu serta amphetamine manakala wanita berkenaan negatif dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Dalam satu lagi kes, sepasang suami isteri berusia 34 dan 28 tahun kerana memiliki syabu seberat 12.45 gram bernilai RM3,050 selepas ditahan kira-kira jam 8.10 malam kelmarin.

“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran bermula akhir tahun 2018 di sekitar bandar Lawas,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit yang mempunyai rekod kesalahan lampau juga didapati positif dadah jenis syabu dan amphetamine dan kini ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Berita Harian X