Selasa, 14 Mei 2019 | 4:05pm

Tiga bekas pegawai kanan KEMENTAH, seorang bekas setiausaha politik perlu disiasat

KUALA LUMPUR: Tiga bekas pegawai kanan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan seorang bekas setiausaha politik Menteri Pertahanan adalah empat individu yang perlu disiasat dalam projek pembinaan dua kem tentera dan markas tentera udara yang terbabit dengan ‘land swap’ tapak Kem Tentera Kinrara, Puchong.

Bekas pegawai kanan yang perlu disiasat adalah mereka yang pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha KEMENTAH, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pembinaan Kem Tentera Paloh, Kluang, Johor; Pusat Latihan Pengurusan Logistik Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dan Markas Tentera Udara (MTU2) di Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat urusan ‘land swap’ tanah KEMENTAH mendapati wujud unsur kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus dan salah guna kuasa oleh pegawai kementerian dalam pelaksanaan projek dan ‘land swap’ tanah berkaitan.

Menurut laporan itu, tiga projek pembangunan terbabit masih belum dimuktamadkan dan perjanjian penswastaan belum ditandatangani, tetapi pembinaan tujuh bangunan di Kem Paloh dilaksanakan atas arahan KEMENTAH.

“Nilai tanah balasan di Kem Kinrara pula ditetapkan pada harga yang lebih rendah daripada penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Oleh itu, jawatankuasa siasatan berpendapat wujud unsur kelemahan dan kecuaian urus tadbir serta salah guna kuasa pegawai kementerian.

“Terdapat juga unsur campur tangan politik dalam pemilihan kontraktor sebelum ‘due diligence’ atau pertimbangan dilaksanakan dan penentuan projek yang hendak dilaksanakan.

“Keadaan ini menyebabkan kepentingan kerajaan tidak terjamin dan mendedahkan kerajaan kepada kerugian. Bagi menjamin pelaksanaan projek ‘land swap’, kementerian perlu mengkaji semula projek berdasarkan kepada Pelan Strategik KEMENTAH dan Dasar Pertahanan Negara,” kata laporan itu.

Laporan siasatan JKSTUPKK mula disiarkan di portal rasmi KEMENTAH sejak semalam dan boleh diakses secara berperingkat sehingga Jumaat ini.

Berdasarkan laporan siasatan itu, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian atau ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang tempoh pelaksanaan 16 projek ‘land swap’ tanah Kementerian Pertahanan di pelbagai peringkat pelaksanaan.

Jawatankuasa itu juga mendapati 13 daripada 16 projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan turut membabitkan bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

Urusan dan pelaksanaan tiga projek kementerian terbabit dalam urusan ‘land swap’ tanah Kem Kinrara adalah antara 2011 sehingga 2018.

Sementara itu, laporan itu turut mendapati berlaku campur tangan anggota pentadbiran dalam penentuan kontraktor, salah guna kuasa dan kepentingan politik, projek yang dilaksanakan bukan menjadi keutamaan, kelemahan dan kecuaian dalam proses urus tadbir perolehan dan kerja pembangunan dilakukan tanpa perjanjian kontrak.

2719 dibaca
Berita Harian X