Selasa, 14 Mei 2019 | 6:47pm
NAIB Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan, Azlida Mazni Arshad. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Panel Pelaburan KWAP bimbang pelaburan SRC

KUALA LUMPUR: Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) meluahkan kebimbangan terhadap pelaburan SRC International Sdn Bhd melalui permohonan syarikat itu untuk mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada dana persaraan terbabit pada 2011.

Kebimbangan itu dibangkitkan melalui enam isu dikemukakan Panel Pelaburan berhubung cadangan pelaburan SRC seperti terkandung dalam Kertas Cadangan Pelaburan yang dibentangkan pada mesyuarat khas, 19 Julai 2011.

Kebimbangan Panel Pelaburan berhubung perkara itu dinyatakan peguam, Harvinderjit Singh, ketika menyoal balas saksi ke-35 pendakwaan, Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan, Azlida Mazni Arshad.

Menjawab soalan Harvinderjit mengenai kebimbangan panel itu, Azlida Mazni berkata, berdasarkan Minit Mesyuarat Pelaburan Khas yang dipengerusikan Pengerusi KWAP ketika itu, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, satu atau dua ahli panel memberikan pendapat mereka.

“Pendapat (berhubung kebimbangan itu) disokong oleh ahli panel yang lain.

“Ia adalah tanggungjawab fidusiari mereka untuk membangkitkan kebimbangan itu,” katanya.

Panel Pelaburan terdiri daripada enam ahli, termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; wakil daripada Kementerian Kewangan, Datuk Norzirah Bahari; dan Pengerusi Panel Pelaburan KWAP ketika itu, Datuk Mohammed Azlan Hashim.

Pada perbicaraan sebelum ini, saksi itu berkata, KWAP hanya meluluskan RM1 bilion (permohonan asal RM3.95 bilion) pada 2011 selepas menimbangkan faktor risiko pelaburan syarikat berkenaan berkaitan pembayaran, overconcentration (tumpuan kepada satu atau beberapa pelaburan sahaja) dan risiko kepada negara serta industri.

Sementara itu, Harvinderjit mencadangkan kepada saksi bahawa tidak ada sebarang desakan atau paksaan supaya pinjaman SRC diluluskan dalam masa yang cepat.

Peguam membangkitkan soalan itu berdasarkan proses permohonan terbabit yang memerlukan KWAP mendapatkan maklumat tambahan, malah pada satu peringkat, dana persaraan itu menangguhkan kelulusan pinjaman bagi memperoleh maklumat terperinci.

Azlida Mazni bersetuju dengan cadangan peguam itu.

Saksi itu turut ditanya mengenai ada dakwaan oleh pegawai kanan KWAP kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang pinjaman itu tidak diguna berdasarkan perjanjian kemudahan pembiayaan.

Ditanya sama ada beliau pernah mendengar dakwaan terbabit, saksi menjawab, “Ya.”

Harvinderjit: Jumlah pembiayaan digunakan SRC, apa saja wang hasil pelaburan boleh digunakan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat?

Saksi: Ya, ia adalah keuntungan melalui dana pembiayaan itu.

Harvinderjit: Pada satu masa, KWAP tidak boleh tentukan sama ada wang yang digunakan adalah duit pinjaman KWAP atau keuntungan hasil pelaburan?

Saksi: Ya.

Harvinderjit: Kamu tidak boleh bezakan jika dana pembiayaan KWAP dan wang keuntungan bercampur?

Saksi: Ya

Harvinderjit: Wang pinjaman KWAP hanya boleh digunakan seperti dalam perjanjian. Jika guna selain daripada tujuan itu...

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangun dan mengemukakan bantahan kerana menurutnya, saksi hanya memberi jawapan berdasarkan pandangan peribadi tanpa dikemukakan sebarang bukti.

Harvinderjit kemudian beralih kepada soalan lain.

Sementara itu, Azlida Mazni turut ditanya mengenai jaminan diberikan kerajaan bagi pinjaman berkenaan.

Saksi itu bersetuju bahawa Surat Jaminan Kerajaan bertarikh 26 Ogos 2011 yang menunjukkan bahawa kerajaan bersetuju menjamin pinjaman RM2 bilion kepada SRC.

“Ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan menarik diri. Ia tidak ubah seperti yang sudah dimeterai (done deal),” katanya.

Berita Harian X