Rabu, 15 Mei 2019 | 4:27pm
Sebahagian 40 penuntut Diploma Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) menerima rawatan di IQDAR manakala 20 lagi terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah mengalami keracunan makanan selepas mereka menjamu nasi arab berlaukkan ayam dan kambing sekitar jam 12 tengah malam kelmarin sumbangan sebuah restoran makanan arab. - Foto Shahrizal Md Noor

36 pelajar IQDAR alami keracunan makanan

ALOR SETAR: Seramai 36 pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) di sini, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan selepas dipercayai mengalami keracunan makanan pagi tadi.

Pelajar termasuk 21 lelaki itu mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening dan muntah sebelum 15 daripada mereka dihantar ke HSB mulai jam 9 pagi, manakala selebihnya dirawat di pusat pengajian.

Timbalan Pengarah IQDAR, Muhammad Yusni Yaakob, berkata pihaknya menyedari kejadian itu selepas ramai pelajar yang tidak menghadiri kelas pada jam 8 pagi

.

“Pensyarah kemudian melakukan pemeriksaan di asrama pelajar dan mendapati beberapa pelajar terbabit mengalami muntah dan cirit birit serta pening.

“Mereka dipercayai makan 150 bungkus nasi Arab berlauk kambing dan ayam yang dihantar restoran luar pada jam 11 malam tadi, tetapi berdasarkan pengakuan pelajar, ada antara mereka hanya makan hidangan itu antara jam 1 hingga 5 pagi,” katanya ketika ditemui di IQDAR di sini, hari ini.

Muhammad Yusni berkata, kesemua pelajar terbabit berusia antara 18 hingga 21 tahun sedang mengikuti program Diploma Tahfiz Al Quran dan Al Qiraati.


Sebahagian 40 penuntut Diploma Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) menerima rawatan di IQDAR manakala 20 lagi terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah mengalami keracunan makanan selepas mereka menjamu nasi arab berlaukkan ayam dan kambing sekitar jam 12 tengah malam kelmarin sumbangan sebuah restoran makanan arab. - Foto Shahrizal Md Noor

Bagi mengelakkan kesesakan di hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, turut menempatkan pegawai dan jururawat di IQDAR bagi memantau keadaan 21 pelajar yang dirawat di situ.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Afham Anwar, 20, mengaku makan hidangan nasi Arab kira-kira jam 1 pagi tadi, sebelum merasa sakit perut sejam kemudian.

“Masa makan saya rasa makanan dalam keadaan baik, tak ada bau basi atau sebagainya. Perut mula rasa sakit pada jam 2 pagi, namun saya masih dapat tidur kerana rasa sakit sudah kurang.

“Tetapi ketika hendak ke kelas pada jam 8 pagi, saya mula berasa sakit perut dan mengalami cirit-birit,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Marwadah Anuar, 20, berkata dia makan nasi itu pada jam 5 pagi dan pening selepas solat Subuh.

“Saya rasa nasi itu masih dalam keadaan baik cuma ayam ada bau sedikit menyebabkan saya makan tidak banyak.

“Selepas solat Subuh, saya mula sakit perut sehingga pening dan muntah,” katanya.

105 dibaca
Berita Harian X